SHOUT


Free shoutbox @ ShoutMix

Sabtu, 9 Februari 2008

Motivasi

Ajar anak-anak konsep tauhid dan ketuhanan seawal mungkin.
Anak-anak bukan sahaja perlu diajar tentang cara mengerjakan solat, membaca al-quran, fardhu ‘ain dan sebagainya sahaja. Sebaliknya mereka perlu difahamkan tentang konsep tauhid seawal mungkin. Mereka perlu tahu dan yakin bahawa semua yang ada ini dicipta oleh Tuhan Yang Satu dan hanya kepadaNya sahajalah kita patu beribadah. Anak-anak yang memahami konsep takwa takut untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang meski pun tiada sesiapa mungkin yang akan mengetahui perbuatannya. Semuanya ini kerana keyakinan dan kepercayaan yang telah ditanam dalam diri mereka bahawa semua yang dilakukan akan dibalas dan hidup sentiasa diperhatikan oleh Tuhan. Semua ini akan menjadi benteng diri yang mampu membantu anak-anak berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup.

Lahirkan generasi yang membudayakan ilmu.
Anak-anak yang pintar dan bijak hanya lahir daripada generasi yang membudayakan ilmu. Ibu bapa perlu jadikan budaya membaca sebagai salah satu amalan harian mereka. Galakkan anak-anak membaca pelbagai bentuk bahan bacaan. Dedahkan mereka dengan cabang pengetahuan yang pelbagai seperti buku-buku yang membina minat dalam bidang sains dan teknologi, buku-buku cerita yang membina akhlak dan peribadi, kisah-kisah perjuangan, buku-buku mempunyai unsur motivasi, dan banyak lagi. Kurangkan bahan-bahan picisan yang berbentuk hiburan, tahyul, lucah dan sebagainya. Dedahkan juga anak-anak dengan pelbagai isu semasa dan bincangkan dengan mereka tentang isu-isu tersebut dan kenapa ia berlaku dan bagaimana ia boleh dielakkan atau diatasi. Bawa anak-anak ke perpustakaan, kedai buku dan pesta buku. Sediakan ruang membaca dan perpustakaan mini di rumah.

Serlahkah kehebatan dan keunikan dalam diri anak.
Setiap anak itu unik dan mempunyai kehebatannya sendiri. Ibu bapa perlu peka dengan perkembangan diri anak-anak dan dedahkan mereka dengan pelbagai aktiviti sosial dan ko-kurikulum. Lebih banyak pendedahan yang dilakukan maka lebih bagus sebab disitu nanti anak-anak menyedari kebolehan dan bakat mereka dalam sesuatu bidang. Semua orang perlukan pengiktirafan dalam hidup ini dan anak kita juga tidak terkecuali. Apabila anak-anak menerima pengiktirafan terhadap penglibatan mereka dalam sesuatu aktiviti maka mereka lihat diri mereka berharga dan ini meningkatkan tahap IESQ mereka. Nicol Ann David dan Shalin Zulkifli adalah antara mereka yang telah dikesan bakat sukannya oleh kedua ibu bapa mereka sejak dari usia kecil. Kesannya, lihatlah pencapaian mereka hari ini.

Suburkan kebaikan anak-anak.
Ibu bapa begitu cepat menegur kesilapan anak tetapi lupa menyuburkan kebaikan yang anak-anak mereka lakukan. Apabila anak-anak melakukan sesuatu yang baik, ibu bapa menganggap itulah yang sepatutnya anak-anak mereka lakukan dan tiada apa yang perlu diberikan sebagai balasan. Sebaliknya apabila anak-anak melakukan perkara yang buruk, ibu bapa segera menegur, memarahi, menyindir dan menasihati. Anak-anak perlu diberitahu apa yang salah telah mereka lakukan dan apa pula yang betul. Kalau setiap yang salah kita berikan teguran maka setiap perkara yang betul kita perlu berikan pujian. Puji-pujian menunjukkan yang kita peka dan prihatin terhadap perlakuan dan perkembangan anak-anak dan ini akan menyuburkan kebaikan.

Petikan dr Artikel Dr.Asmadi, MAP Training



Tiada ulasan: