Isu berhubung penggunaan racun serangga dan kulat secara berlebihan bagi sayuran untuk pasaran tempatan, terus mencetuskan kontroversi apabila Kementerian Pertanian pula mengaku tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap penanam sayur terbabit. Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohd Sharif Omar, sebaliknya berkata pemantauan dan penguatkuasaan sukatan racun serangga dan kulat pada sayuran terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.
Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Daerah Batang Padang di Tapah semalam memberitahu pihaknya sekadar memantau paras racun pada sayuran dari Cameron Highlands yang bakal dieksport ke Singapura, manakala untuk pasaran tempatan tidak melalui sebarang proses pemeriksaan. Mohd Sharif yang dihubungi hari ini pula menjelaskan, kementeriannya hanya bertanggungjawab memberi khidmat nasihat kepada petani dan penanam sayur supaya menggunakan kaedah penanaman yang betul, seperti jenis penggunaan racun serangga atau baja, supaya mendapat hasil menguntungkan.
“Seperti di Cameron Highlands, kita meletakkan Pegawai Pengembangan untuk memberi khidmat nasihat berhubung perkara itu dan membuat lawatan di kebun sayur bagi memudahkan interaksi antara mereka,” katanya. Beliau memberi penjelasan itu ketika diminta mengulas pendedahan Berita Harian mengenai tindakan sesetengah penanam sayur tanah tinggi, terutama di Cameron Highlands yang hanya mematuhi kaedah penyemburan racun serangga dan kulat bagi sayur-sayuran untuk pasaran Singapura.
Bagaimanapun, bagi sayuran pasaran tempatan, mereka menggunakan racun jenis murah dan tidak mengikut sukatan betul yang boleh mendedahkan pemakannya kepada pelbagai penyakit kronik. Mohd Sharif berkata, Jabatan Pertanian juga membuat kajian mengenai pengeluaran hasil pertanian dan musim terbaik untuk menanam. “Kita akan memberikan gambaran mengenai maklumat pasaran dan harga bagi produk pertanian mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau kesal dengan sikap sesetengah penanam sayur yang hanya menggunakan sukatan betul bagi sayuran pasaran Singapura. Katanya, penanam sayur tidak seharusnya mempunyai sikap seumpama itu kerana ia membabitkan semua pihak tidak mengira sama ada untuk pasaran eksport atau tempatan. “Penanam sayur harus bersikap telus dan ikhlas serta tidak mementingkan keuntungan semata-mata,” katanya.





